Selasa, 08 September 2009

PANDUAN MENGAJAR DAN BELAJAR AL-QUR’AN (bagian 3 dari 3)


Masalah ke-16:
Hendaklah dia membersihkan hatinya dari kotoran-kotoran dosa supaya boleh menerima Al-Qur’an, manghafal dan memanfaatkannya.

Diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam bahawa Baginda bersabda:

Terjemahan: “Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia segumpal daging. Jika daging itu baik, seluruh tubuh menjadi baik. Jika daging itu rosak, seluruh tubuh menjadi rosak. Ingatlah, daging itu ialah hati.”

Sungguh baik perkataan orang yang mengatakan: “Hati itu menjadi baik
dengan ilmu sebagaimana bumi menjadi baik kerana dijadikan pertanian.”

Hendaklah pelajar bersikap merendah hati terhadap gurunya dan sopan
kepadanya, meskipun lebih muda, kurang terkenal dan lebih rendah nasab dan keturunannya dari pada dia. Hendaklah pelajar bersikap merendah hati untuk belajar ilmu. Dengan sikapnya yang merendah hati dia boleh mendapat ilmu.

Seorang penyair menendangkan sebuah madah:

Ilmu itu tidak boleh mencapai pemuda Yang menyombongkan diri,
Sebagaimana air bah Tidak boleh mencapai tempat yang tinggi.

Pelajar mesti patuh kepada gurunya dan membicarakan dengannya
dalam urusan-urusannya. Dia terima perkataannya seperti orang sakit yang berakal menerima nasihat doktor yang menasihati dan mempunyai kepandaian, maka yang demikian itu lebih utama.

Masalah ke-17:
Janganlah dia belajar kecuali dari orang yang lengkap keahliannya,
menonjol keagamaanya, nyata pengetahuannya dan terkenal kebersihan dirinya.

Muhammad bin Sirin dan Malik bin Anas serta para ulama salaf lainnya
berkata: “Ilmu ini adalah agama, maka lihatlah dari siapa kamu mengambil agama kamu.”

Pelajar mesti memuliakan gurunya dan meyakinkan kesempurnaan
keahliannya dan keunggulannya dia atas golongannya kerana hal itu lebih dekat untuk mendapat manfaat dari padanya.

Sebagian ulama masa lalu (ulama Mutaqaddimin) apabila pergi kepada
gurunya, dia sedekahkan sesuatu seraya berkata: “Ya Allah, tutupilah
keburukan guruku dariku dan jangan hilangkan keberkatan ilmunya dariku.
“Rabi, sahabat Asy-Syafi’i rahumahullah berkata: “Aku tidakberani minum air sementara Asy-Syafi’i memandang kepadaku kerana kewibawaannya.”

Telah kami terima riwayat yang bersumber dari Amirul Mukminin Ali bin
Abu Thalib ra, katanya: “Termasuk kewajibanmu terhadap guru ialah engkau memberi salam kepada orang-orang secara umum dan mengkhususkannya dengan suatu penghormatan. Hendaklah engkau duduk di depannya dan tidak memberi isyarat di dekatnya dengan tanganmu ataupun mengerdipkan kedua matamu.”

Janganlah engkau katakan, si fulan berkata lain dari yang engkau
katakan. Jangan mengumpat seseorang di dekatnya dan jangan bermusyawarah dengan kawan dudukmu di majlisnya. Jangan memegang bajunya jika dia hendak berdiri, jangan mendesaknya jika dia malas dan jangan merasa bosan kerana lama bergaul denganya. Patutlah pelajar melaksanakan adab-adab yang ditunjukkan oleh Allah subhanahu wata'ala.

Hendaklah pelajar menolak umpatan terhadap gurunya jika dia mampu.
Jika tidak mampu menolaknya, hendaklah dia tinggalkan majlis itu.

Masalah ke-18:
Hendaklah pelajar masuk ke ruang/majlis gurunya dalam keadaan
memiliki sifat-sifat sempurna sebagaimana yang saya sebutkan perlu ada pada guru. Antara lain dengan bersuci menggunakan siwak dan menggosokkan hati dari hal-hal yang menyibukkan. Janganlah dia masuk sebelum minta izin jika gurunya berada di suatu tempat yang perlu minta izin untuk memasukinya. Hendaklah pelajar memberi salam kepada para hadirin ketika masuk dan mengkhususkan gurunya dengan penghormatan tertentu. Dia memberi salam kepada gurunya dan kepada mereka ketika dia pergi sebagaimana disebut di dalam hadits:
“Bukanlah salam yang pertama itu lebih baik daripada yang kedua?”

Janganlah dia melangkahi bahu orang lain, tetapi hendaklah dia duduk di
mana tempat majlis berakhir, kecuali jika guru mengizinkan baginya untuk maju atau dia ketahui dari keadaan mereka bahawa mereka lebih menyukai hal itu. Janganlah dia menyuruh seseorang berdiri dari tempatnya. Jika orang lain mengutamakannya, jangan diterima, sesuai dengan sikap Umar ra kecuali jika dengan mengikutinya terdapat maslahat bagi orang-orang yang hadir atau guru menyuruhnya berbuat demikian. Janganlah dia duduk di tengah halaqah (majlis), kecuali jika ada keperluan. Janganlah duduk diantara dua kawan tanpa izin keduanya. Tetapi jika keduanya melapangkan tempat untuknya, dia pun bolehlah duduk merapatkan dirinya.

Masalah ke-19:
Hendaklah dia menunjukkan adab terhadap kawan-kawannya dan orang-
orang yang menghadiri majlis guru itu. Hal itu merupakan sikap sopan terhadap guru dan pemeliharaan terhadap majlisnya. Dia duduk dihadapan guru dengan cara duduk sebagai seorang pelajar, bukan cara duduknya guru. Janganlah dia menguatkan suaranya tanpa keperluan, jangan tertawa, jangan banyak bercakap tanpa keperluan, jangan bermain-main dengan tangannya ataupun lainnya. Jangan menoleh ke kanan dan kekiri tanpa keperluan, tetapi menghadap kepada guru dan mendengar setiap perkataanya.

Masalah ke-20:
Perkara lain yang perlu diperhatikan ialah tidak belajar kepada guru
dalam keadaan hati guru sedang sibuk dan dilanda kejemuan, ketakutan,
kesedihan, kegembiraan, kehausan, mengantuk, kegelisahan dan hal-hal lain yang dapat menghalangi guru untuk dapat mengajar dengan baik dan serius. Hendaklah dia manfaatkan waktu-waktu di mana gurunya dalam keadaan sempurna.

Termasuk sebagian dari adabnya ialah menahan ketegasan guru dan
keburukan akhlaknya. Janganlah hal itu menghalangnya untuk menzaliminya dan meyakini kesempurnaannya. Hendaklah dia mentakwilkan perbuatan-perbuatan dan perkataan-perkataan zahir gurunya yang kelihatantidak baik dengan takwil-takwil yang baik. Tidaklah boleh melakukan itu kecuali orang yang mendapat sedikit taufik atau tidak mendapatnya. Jika gurunya berlaku kasar; hendaklah dia yang lebih dahulu meminta maaf dengan mengemukakan alasan kepada guru dan menujukkan bahawa dialah yang patut dipersalahkan. Hal itu lebih bermanfaat baginya didunia dan diakhirat serta lebih
membersihkan hati guru.
Mereka berkata: “Barangsiapa tidak sabar menghadapi kehinaan ketika
belajar, maka sepanjang hidupnya tetap dalam kebodohan. Dan barangsiapa yang sabar menghadapinya, maka dia akan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.” Senada dengan nasihat itu ialah athar yang mansyur dari Ibnu Abbas radhiallahu'anhu: “Aku menjadi hina sebagai pelajar dan menjadi mulia sebagai guru.”

Alangkah indahnya madah penyair berikut ini:

Barangsiapa tidak tahan merasakan kehinaan sesaat,
Maka dia melalui seluruh hidupnya dalam keadaan hina.

Masalah ke-21:
Termasuk adab pelajar yang amat ditekankan ialah gemar dan tekun
menuntut ilmu pada setiap waktu yang dapat dimanfaatkannya dan tidak puas dengan yang sedikit sedangkan dia boleh belajar banyak. Janganlah dia memaksa dirinya melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukannya supaya tidak jemu dan hilang apa yang diperolehnya. Ini berbeza sesuai dengan perbezaan manusia dan keadaan mereka. Jika tiba di majlis guru dan tidak menemukannya, dia mesti menunggu dan tetap tinggal di pintunya. Janganlah meninggalkan tugasnya, kecuali jika dia takut gurunya tidak menyukai hal itu dengan mengetahui bahawa gurunya mengajar dalam waktu tertentu dan tidak mengajar ketika lainnya.

Jika menempati guru sedang tidur atau sibuk dengan sesuatu yang penting, janganlah dia minta izin untuk masuk, tetapi bersabar sehingga dia bangun atau selesai dari kesibukkannya.

Bersabar lebih utama sebagaimana dilakukan oleh Ibnu Abbas ra dan
lainnya. Hendaklah dia mendorong dirinya dengan berijtihad dalam menuntut ilmu ketika lapang, dalam keadaan giat dan kuat, cerdas pikiran dan sedikit kesibukkan sebelum nampak tanda-tanda ketidak-mampuan dan sebelum mencapai kedudukan yang tinggi.

Amirul Mukminin Umar Ibn Al-Khattab ra berkata: “Tuntutlah ilmu
sebelum kamu menjadi pemimpin. Yakni berijtihadlah dengan segenap
kemampuanmu ketika kamu menjadi pengikut sebelum menjadi pemimpin yang diakui, kamu enggan belajar lantaran kedudukanmu yang tinggi dan
pekerjaanmu yang banyak. Inilah makna perkataan Imam Asy-Syafi’i rahimahullah:

“Tuntutlah ilmu sebelum engkau menjadi pemimpin. Jika engkau sudah
menjadi pemimpin, maka tiada lagi waktu untuk menuntut ilmu.”

Masalah ke-22:
Hendaklah dia pergi kepada gurunya untuk belajar di pagi hari
berdasarkan hadits Nabi shallahu'alahi wasallam:

Terjemahan: “Ya Allah, berkatilah umatku pada waktu pagi hari.”

Hendaklah dia memelihara bacaan hafalannya dan tidak mengutamakan
orang lain pada waktu gilirannya kerana mengutamakan orang lain dalam hal ibadah adalah makruh. Lain halnya dengan kesenangan nafsu, maka hal itu disukai. Jika guru melihat adanya maslahat dalam mangutamakan orang lain pada suatu makna syar’i, kemudian menasihatinya agar berbuat sedemikian, maka dia perlu mematuhi perintahnya.

Di antara yang wajib dan wasiat yang ditekankan daripadanya ialah
jangan iri hati kepada seorang kawannya atau lainnya atau suatu keutamaan yang dianugerahkan Allah s.w.t kepadanya dan jangan membanggakan dirinya atas sesuatu yang diistemewakan Allah subhanahu wata'ala baginya. Telah saya kemukakan penjelasan hal ini dalam adab-adab guru.

Cara menghilangkan kebanggaan itu ialah dengan mengingatkan dirinya
bahawa dia tidak mencapai hal itu dengan daya dan kekuatannya, tetapi
merupakan anugerah dari Allah subhanahu wata'ala. Tidaklah patut dia membanggakan
sesuatu yang tidak diciptakannya, tetapi diamanahkan oleh Allah subhanahu wata'ala padanya.

Cara untuk menghilangkan iri hati ialah dengan menyadari bahawa
hikmah Allah subhanahu wata'ala, menghendaki untuk memberikan keutamaan tertentu kepada orang yang dikehendaki-Nya. Maka patutlah dia tidak menyanggahnya dan tidak membenci hikmah yang sudah ditetapkan Allah subhanahu wata'ala.
==
Kitab At-Tibyaan fii Aadaabi Hamalatil Quran IMAM NAWAWI

Fahrozi Ibn Shaliih

Tidak ada komentar:

Posting Komentar